Lembaga Kebajikan dan Pendidikan Islam Mualim (LKPIM) dan Ahli Jawatankuasa Muslimat Masjid Al-Badr.
Masjid Al-Badr Seribu Selawat telah menjadi tuan rumah bagi Program Khatam Al-Quran yang berlangsung dengan penuh keberkatan pada 21 Januari 2025. Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Lembaga Kebajikan dan Pendidikan Islam Mualim (LKPIM) dan Ahli Jawatankuasa Muslimat Masjid Al-Badr.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat, serta mengeratkan silaturahim melalui aktiviti yang berteraskan ilmu dan ibadah. Ia juga bertujuan memperkukuh budaya membaca, memahami, dan mengamalkan Al-Quran sebagai panduan hidup seharian.
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran), mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan secara sembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak akan pernah rugi.”
(Surah Al-Fatir, 35:29)
Majlis telah dirasmikan oleh Ustaz Haji Faisal Mukminin Bin Mustafa, Setiausaha Masjid Al-Badr, yang turut menyampaikan tazkirah ringkas berkaitan keutamaan menjadikan Al-Quran sebagai sumber hidayah dan penyuluh dalam kehidupan umat Islam.
