Masjid Al Badr Seribu Selawat (Masjid Terapung)
Pulau Pangkor, Perak
Masjid Al-Badr 1,000 Selawat, juga dikenali sebagai Masjid Terapung Pangkor, terletak di Kampung Teluk Gedong, Pulau Pangkor, Perak. Ia merupakan masjid terapung pertama di negeri Perak, dan menjadi mercu tanda penting serta tarikan pelancongan utama di kawasan ini.
Cetusan idea pembinaannya bermula hasil perbincangan antara bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir dan Yayasan Restu, dengan tujuan membina sebuah masjid unik berkonsepkan 1,000 selawat. Matlamatnya adalah untuk menggabungkan elemen Islamik dan warisan negeri Perak dalam seni bina yang menjadi tarikan umat Islam dan pelawat seluruh dunia.
Pembinaan bermula pada 7 Mac 2014 di bawah pengawasan Pejabat Daerah Manjung dan siap sepenuhnya pada Jun 2017. Masjid ini dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 8 Jun 2017. Ia turut mendapat pengesahan kaligrafi daripada Jabatan Agama Islam Perak dan Jabatan Mufti Perak.
Keunikan masjid ini terserlah melalui hiasan lebih 1,000 selawat yang diabadikan dengan seni tangan kaligrafi halus di seluruh ruang dalaman. Ia disusun secara harmoni pada panel, dinding dan tiang masjid. Proses penyediaan kaligrafi ini mengambil masa bertahun lamanya sebelum siap sepenuhnya, termasuk diterbitkan dalam buku khas berjudul Masjid al-Badr, Meneliti Keindahan 1,000 Selawat.
Hiasan dalaman masjid ini turut menampilkan ukiran kayu bermotif bunga kertas dan bunga kelumpang – dua tumbuhan sinonim dengan identiti negeri Perak. Selain itu, lampu gantung tembaga turut diukir dengan motif selawat, hasil rekaan halus oleh Yayasan Restu. Reka bentuk ini mempamerkan gabungan warisan Perak dan seni Islamik Timur Tengah.
Masjid ini mampu menampung lebih 1,000 jemaah dan mula beroperasi pada awal Februari 2017. Ia berfungsi bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi juga pusat komuniti, dakwah, kebajikan dan pembelajaran Islam. Pelbagai program seperti kuliah subuh, tazkirah, Yasinan, mosque tour, serta program kebajikan melalui Bait Al-Rizq diadakan secara berkala.
Lokasi:
• 5–10 minit dari Jeti Pangkor ke Masjid (berkenderaan)
• 5–10 minit ke Pekan Pangkor
• 20–25 minit ke kawasan peranginan seperti Pasir Bogak dan Teluk Nipah
Selain menjadi tumpuan umat Islam, masjid ini juga mesra pelawat bukan Islam dan menjadi pusat dakwah harmoni, sejajar dengan prinsip rahmatan lil-‘alamin.